Saturday, 9 January 2016

Tiga Sebab Kenapa Saya Lebih Suka Canon Berbanding Nikon



Kenapa saya prefer Canon berbanding Nikon?

Walaupun mereka berkongsi banyak kelebihan dan kelemahan yang sama, contohnya sama-sama sistem DSLR yang sudah established, sama-sama pantas untuk fokus, sama-sama model high end baterinya tahan lama berbanding high end mirrorless, sama-sama kebelakang dalam arena video recording kalah kepada Panasonic dan Sony.

Tapi ada juga perbezaan sedikit antara Canon dan Nikon.

1) User Interface
Menu system Canon lebih tersusun dengan sistem tabs dan intuitive lagi mudah nak digunakan. Nikon punya agak mengelirukan. Tapi user interface paling hebat pada pendapat saya ialah Samsung mirrorless, diorang dah berpengalaman banyak design Touchwiz UI untuk smartphone diorang.


2) Tiada kekeliruan pasal 'motor'
Beberapa dekad lalu Nikon lebih awal adopt teknologi autofocus dengan letakkan motor dalam body dan gunakan skru untuk drive autofocus lens. Canon masuk-masuk je terus letakkan motor dalam lens - design yang lebih baik sebab power motor tu boleh tuned kepada keperluan lens yang spesifik. Nikon tak lama lepas tu pun ikut. Pada entry level camera dia tak letakkan motor, pening lagi keliru orang bila cari lens terpakai.

3) Canon ada lagi banyak lens budget
Nikon ada 50mm f/1.8G, Canon ada budget Canon 50mm f/1.8 STM jugak. Itu equal lah. Tapi Canon budget pancake lenses ada dua - 40mm dan 24mm f/2.8 STM. Budget full frame zoom ada 24-105mm IS STM. Budget ultra wide ada 10-18mm IS STM. Canon can be a cheaper system plus image stabilization.


Baru tiga, sebab memang tiga tu je. Sebenarnya saya nak cakapkan yang pemilihan antara Canon atau Nikon ni personal preference sahaja. Terpulanglah orang nak pakai yang mana. Ada orang lagi biasa guna Canon ada orang biasa guna Nikon. Fundamentally mereka sama je.

Kalau nak betul-betul ada banyak beza, cuba tengok sistem mirrorless dengan design yang klasik dari Fujifilm atau sistem kamera mirrorless E-mount dari Sony. Barulah ada banyak beza dengan sistem DSLR.

"Canon dan Nikon yang mana lagi baik?"

Do you really have to ask? Brand war is meaningless. Jadilah pengguna yang bijak. Manfaatkan internet connection research pasal kamera mana yang ada features apa yang korang minatkan. Banyak kedai ada display kamera untuk kita main. Cuba pegang yang mana sedap. Rasa yang mana berat yang mana ringan. Yang anda minat, angkat. Pastu kalau pilihan orang lain berbeza dari anda, dah memang taste dia berbeza. Mau gaduh buat apa?

Pendek sahaja bebelan kali ini. See ya!

Adzrin Mansor

Saturday, 2 January 2016

TEKNOLOGI SISTEM PENGANGKUTAN AWAM BANDAR SEOUL


Sepanjang lima tahun menetap di bandar metropolitan Seoul saya sangat mengagumi sistem pengangkutan awam bandar metropolitan Seoul yang begitu efisyen dan berpatutan harganya. Sebagai seorang pelajar kejuruteraan yang dihantar oleh kerajaan untuk mempelajari cara-cara orang Korea, memang menjadi tugas saya untuk mengumpul maklumat seperti seorang 'spy' dan memaklumkan kepada semua warga Malaysia.

Seoul Metropolitan Government kini terkenal di seluruh dunia kerana telah berjaya mengintegrasikan servis tren bawah tanah dengan sistem bas dengan jayanya untuk servis pengangkutan awam yang efisyen. Ia kini lebih dikagumi berbanding sistem yang jauh lebih tua daripadanya seperti di New York Subway.

Pada tahun 90-an Korea Selatan telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi dan pertumbuhan jumlah penduduk yang pesat. Pada awalnya sistem bas diuruskan sepenuhnya oleh syarikat swasta. Permasalahan dengan sistem ini ialah terlalu banyak syarikat inginkan laluan yang menguntungkan tetapi pada masa yang sama meninggalkan servis laluan yang tidak menguntungkan. Hal ini menyebabkan kesesakan teruk di kawasan padat kerana wujud banyak pertindihan laluan bas. Kawasan yang kurang padat pula tidak menerima servis bas kerana dianggap kurang menguntungkan. Dengan 10 juta penduduk di dalam satu bandar Seoul sahaja, bandar ini memang sangat memerlukan sistem pengangkutan awam yang efisyen. 

Lorong keutamaan untuk bas telah cuba diperkenalkan untuk memudahkan perjalanan bas. Malangnya ia gagal kerana lorong bas itu menjadi ruang parkir kereta, sekaligus menyekat bas dari bergerak dengan efisyen dan menepati masa.

Oleh kerana kelemahan sistem pengangkutan awam, ramai yang berbelanja lebih untuk membeli kereta sendiri. Permilikan kenderaan sangat tinggi pada masa itu. Kerajaan Korea memahami bahawa pertambahan hutang isi rumah mengurangkan 'disposable income' dan kuasa membeli pembeli daripada menjana ekonomi tempatan. Jumlah kenderaan yang tinggi juga menyebabkan kesesakan makin bertambah buruk dan menyebabkan pencemaran udara. Bandar Seoul sangat sudah semakin tercekik dengan masalah ini dan tindakan drastik harus diambil.

Kerajaan bandar Seoul sudah lama mengekspresikan niat untuk melalukan transformasi sistem pengangkutan awam tetapi apabila krisis ekonomi Asia pada tahun 1997 membantutkan segala rancangan mereka.

Pada tahun 2002, ekonomi Korea telah berjaya pulih dengan baik dari krisis ekonomi tersebut. Mereka menjadi tuan rumah kepada 2002 FIFA World Cup yang julung kalinya diadakan di negara Asia. Korea kini menjadi tumpuan dunia.

Sebulan sahaja selepas 2002 FIFA World Cup finals berakhir, seorang Datuk Bandar baharu telah dipilih untuk mengetuai bandar ini. Lee Myung Bak telah menang pilihanraya Datuk Bandar dan visi utama beliau ialah melakukan transformasi yang drastik kepada sistem pengangkutan awam bandar Seoul.

Mari kita bincangkan empat langkah yang diambil oleh Seoul Metropolitan Government untuk menambah baik sistem pengangkutan awam.




1) Chonggyechon
Permulaan 'Walkable City'

Chonggyechon ialah satu anak sungai yang mengalir di tengah-tengah pusat bandar Seoul, dari Jongno melalui kawasan penting seperti Dongdaemun sehinggalah ia memasuki Han River, sungai terbesar di bandar ini. Asalnya Chonggyechon ini telah ditutupi oleh lebuh raya atas jejambat yang begitu sesak dengan trafik kenderaan.

Solusi Datuk Bandar Seoul untuk menyelesaikan masalah kesesakan itu sangatlah drastik dan kontra daripada pemikiran logik. Lebuhraya itu diruntuhkan dan anak sungai Chonggyechon dipulihkan semula sebagai 'Public Open Space' dengan tepian sungai itu dibina ruang pejalan kaki yang rata dan selesa untuk orang berjalan.

Pembangunan dan hartanah di tepian sungai ini pada yang pada asalnya membelakangi sungai tersebut, kini melonjak naik harga. Kedai-kedai di tepi sungai mula dibuka mendepankan sungai kerana wujud ramai pengunjung yang berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut. Pengunjung yang berjalan kaki adalah lebih baik untuk bisnes-bisnes sekitar bandar kerana mereka lebih senang untuk memasuki kedai-kedai berbanding orang dalam kenderaan yang sukar untuk berhenti. Itulah betapa pentingnya pembinaan ruang pejalan kaki yang selesa kepada ekonomi bandar!

Konsep pembangunan 'walkable city' mengutamakan pejalan kaki dan public open spaces kini menjadi keutamaan untuk bandar Seoul.




2) Penciptaan T-Money
Agen katalis penyatuan sistem pengangkutan awam

Bandar Seoul telah mempunyai sistem tren atas tanah dan bawah tanah seawal tahun 1974 dengan pembinaan Line 1, diikuti dengan Line 2, 3 dan 4 pada tahun 1985. Kemajuan servis kereta api bawah tanah ditambah lagi dengan servis oleh syarikat bas swasta yang tidak memuaskan mengakibatkan kemerosotan sistem bas dalam bandar yang drastik. Hanya 53 syarikat bas sahaja yang tinggal beroperasi pada tahun 2003 berbanding 103 pada 1997.

Penciptaan kad T-money pada tahun 2003 adalah katalis utama kepada usaha penyusunan semula sistem pengangkutan awam. Kad prepaid yang dibina dengan teknologi Near Field Communication (NFC) ini membolehkan pengguna menambah nilai yang diingini dan membayar tambang bas atau subway dengan satu tap sahaja semasa naik dan satu lagi semasa turun. Ini mempercepatkan lagi pergerakan penumpang untuk masuk ke dalam bas dan subway daripada perlu beratur membeli tiket atau melengahkan bas dari bergerak kerana pemandu harus melayan pembayaran duit tunai.

Penciptaan kad T-money ini juga bermaksud semua urusan pembayaran tambang disatukan di dalam satu 'pool'. Segala peruntukan dan keuntungan akan diagihkan kepada pelbagai syarikat bas. Dengan ini syarikat bas tidak lagi berebut untuk bertumpu kepada service lanes yang padat untuk keuntungan, kerana untung lebih dari service lanes lain boleh dikongsi dengan lanes yang lain.

Pada awalnya wujud isu syarikat bas sengaja menyatakan kos mereka lebih tinggi daripada realiti untuk mendapatkan lebih peruntukkan. Isu ini diselesaikan dengan memperkenalkan sistem pengagihan mengikut prestasi syarikat bas tersebut.

Dengan sistem pembayaran yang disatukan di bawah satu syarikat milik kerajaan bandar Seoul, kerajaan lebih berkuasa dalam menentukan harga tambang pengangkutan awam. Semasa sistem bas diuruskan sepenuhnya oleh pihak swasta, kesesakan yang teruk menelan kos bahan api yang banyak dan servis kurang memuaskan menyebabkan semakin kurang orang naik bas. Kenaikan kos dan kekurangan untung memaksa syarikat bas untuk menaikkan tambang bas berkali-kali, menyebabkan kemarahan penduduk.


Dengan sistem T-money, penduduk perlu membeli kad T-money yang berharga 2,500 won. Selepas memiliki kad tersebut, mereka boleh menggunakannya berulang kali dengan menambah nilai jumlah yang mereka mahukan - sama seperti sistem kad Touch N Go atau Rapidpass di Malaysia. Tambah nilai boleh dilakukan di semua kedai serbaneka seperti CVS, 7-eleven atau di mesin-mesin yang disediakan di semua stesen kereta api bawah tanah.

Dari segi tambang, orang yang ingin menggunakan sistem pengangkutan awam cuma membayar tambang asas 900 won untuk perjalanan dalam jarak 10km pertama dari stesen yang dinaiki dan tambahan 100 won untuk 10km seterusnya.

Mereka boleh tukar bas secara percuma dengan kad ini selagi mereka di dalam zon 10km perjalanan dari stesen yang mereka naiki. Jika mereka ingin tukar dari menaiki bas ke subway mereka cuma perlu membayar tambahan 100 won juga.

Sebagai perbandingan harga air mineral dalam botol berharga 500 won dan tambang asas cuma di sekitar 1000 won. Murah bukan? Sistem tambang yang bersepadu ini menjadikan tambang pengangkutan awam sangat murah dan sekaligus mengalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan pengangkutan awam.

*Harga tambang yang dibincangkan di atas ialah harga pada tahun 2005. Sejak Jun 2015, tambang asas telah dinaikkan kepada 1,200 won (bas) dan 1,250 (subway). Biasalah, inflasi.




3) Median Bus Lanes
Penyelesaian masalah laluan khas bas

Masalah biasa dengan laluan khas bas yang terletak di tepi jalan ialah, akan muncul orang yang meletakkan kereta mereka di situ, menghalang laluan bas. Penyelesaian datang dengan membina laluan khas bas di tengah-tengah jalan raya, bukan di tepi. Bas tidak perlu lagi menyusuri trafik bersama kereta lain kerana hanya bas dan pihak berkuasa sahaja boleh menggunakan laluan khas bas ini. Dengan cara ini tiada orang akan berhenti di dalam laluan bas di tengah-tengah jalan. 

Median Bus Stops - Stesen bas yang diletakkan di tengah jalan berbanding di tepi.
Stesen bas juga diletakkan di tengah-tengah jalan raya untuk mengelakkan bas dari perlu menempuh dan melintas trafik kereta untuk berhenti di stesen bas. Kini bas mempunyai ruang yang tersendiri untuk bergerak dengan lancar dan lebih menepati masa perjalanan.




4) Sistem TOPIS
Memastikan bas tiba tepat pada masanya

Untuk menguruskan perjalanan bas dan memastikan bas tiba di stesen bas tepat pada masanya, tiga sistem telah dicipta. Sistem TOPIS (Seoul Transport Operation and Information Service) dengan bantuan Sistem BMS (Bus Management System) menggunakan teknologi GPS untuk menentukan kedudukan setiap bas dan melaporkannya ke hab utama pengurusan bas. Pemandu diberi informasi jarak mereka dengan bas lain supaya bas tiba di stesen menepati masa dan tidak berlaku dua tiga bas dengan nombor yang sama, tiba di stesen bas yang sama, pada masa yang sama.


Dengan data yang diperolehi dari TOPIS dan BMS, sistem BIS (Bus Information System) pula memberikan informasi masa menunggu yang spesifik kepada stesen bas mereka di papan informasi digital ataupun melalui aplikasi telefon pintar.


Mengagumkan bukan sistem pengangkutan awam bandar Seoul ini?

Mungkin segala apa yang dibincangkan di atas ini bukanlah perkara baru untuk para pelajar Urban Planning atau komuniti urban planners. Tetapi sedih juga tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan dan potensi pengangkutan awam boleh memajukan negara masih di tahap yang rendah.

Sepanjang lima tahun saya menetap di Korea, ramai pemimpin negara kita telah datang melawat Korea Selatan. Tetapi, setiap kali mereka datang mereka akan diikuti oleh rombongan yang besar, yang memerlukan mereka menaiki van ataupun bas. Jadi kebanyakan pemimpin negara tidak sempat merasa kehebatan sistem pengangkutan awam di sini.

Untuk reformasi yang begitu radikal seperti yang dilakukan oleh Datuk Bandar Lee Myung Bak (later, President) ini memerlukan pemimpin yang mempunyai visi dan misi yang jelas. Jangan risau akan survival Proton jika polisi kerajaan mengutamakan pengangkutan awam. Proton harus menumpukan usaha meneroka pasaran baru di luar negara dan memberi lebih fokus kepada usaha export, mencontohi Hyundai yang saya tuliskan tempoh hari.

Saya percaya yang kita mempunyai kepakaran yang cukup untuk melakukan perubahan sebegini. Cuma kesedaran mengenai kepentingan perancangan bandar, penyelarasan sistem tambang, dan penyusunan servis pengangkutan awam sahaja yang diperlukan. 


Adzrin Mansor



Sumber:
Seoul Metropolitan Government - Citynet
Seoul Metropolitan Government Archives - Seoul Solution
Korea Tourism Agency - Visit Korea

Wednesday, 30 December 2015

HYUNDAI LEBIH MUDA DARI PROTON?


Saya Adzrin Mansor, pelajar bidang kejuruteraan di Korea Selatan dan saya sudah menetap di Seoul selama hampir 5 tahun.

Menarik betul ramai orang Malaysia ingat syarikat Hyundai tu lebih muda dari Proton. Apabila berbicara mengenai kejayaan Korea naik menjadi negara maju dan kuasa ekonomi Asia dengan begitu cepat, Hyundai lah antara syarikat yang paling selalu disebut oleh orang Malaysia.

Syarikat ini diasaskan pada 1947 oleh Chung Ju-yung sebagai sebuah construction firm. Maksud perkataan Hyundai itu adalah 'Modernity'.

Hyundai Motor Company pula diasaskan pada 1967. Waktu orang malaysia bergaduh sebab perkauman 13 Mei, Hyundai dah mula buat kereta bernama 'Cortina'. Pada tahun 1986 Hyundai sudah mula eksport kereta ke Amerika Syarikat. Sedangkan Proton hanya baru sahaja diasaskan pada tahun 1983 dan kereta pertama iaitu Proton Saga dilancarkan pada 1985.

Proton masih muda. Give them time.

Di bawah Hyundai-Kia Motor Group, Hyundai juga memiliki KIA Motors. Sebab itu kebanyakan model kereta mereka berkongsi platform dan enjin yang sama. Hyundai Steel juga di bawah group yang sama membekalkan logam untuk dibuat kereta.

Saya berpeluang melawat kilang kereta terbesar di dunia milik Hyundai di bandar Ulsan. Bandar Ulsan terletak di pesisiran pantai timur semenanjung Korea. Menariknya kilang itu ada pelabuhannya sendiri. Di hujung production line, siap je pasang kereta, kereta itu terus naik kapal untuk dieksport ke luar negara.

Ia tidak berhenti di situ. Hyundai Heavy Industries Group adalah syarikat membina kapal terbesar di dunia. Merekalah yang membina kapal kontena dan mereka juga yang menguruskan shipping untuk mengeksport kereta buatan Korea ke luar negara.

Production kereta mereka lebih fokus kepada eksport dan bukan jualan di dalam negara sahaja. Ramai juga warga bandar Seoul yang tidak memiliki kereta dan bergantung kepada pengangkutan awam sahaja.


Tidakkah polisi kerajaan Korea mengutamakan pengangkutan awam menggangu gugat bisnes kereta Hyundai?

Selain Daewoo, Hyundai juga membuat bas yang digunakan di bandar-bandar Seoul. Hyundai ROTEM adalah syarikat yang membina kereta api bawah tanah untuk pengangkutan awam, dan juga bullet train KTX yang mampu berlari selaju 350 kilometer sejam. Hyundai masih untung.


Hyundai ini terlalu besar. Kini kebanyakan syarikat yang membawa nama Hyundai tidak legally connected kepada Hyundai Group kerana pemisahan ketika 1997 Asian Financial Crisis. Hyundai Motor Group, Hyundai Department Store Group, Hyundai Heavy Industries Group, dan Hyundai Development Company kini adalah syarikat yang berbeza, tetapi mereka masih lagi dikepalai oleh keluarga Chung. Ia masih boleh dikira sebagai perniagaan keluarga terbesar di Korea Selatan dan mempunyai kuasa politik yang tersendiri dalam menentukan nasib negara walaupun ia bukan parti politik.

Ada dua pengajaran yang saya dapat daripada kisah kejayaan Hyundai.

1. Kepentingan pendidikan dan skill. Galian bijih besi Korea tidaklah banyak mana. Minyak pun tiada. Ramai orang Korea percaya kepada developing human capital. Ramai orang berebut untuk belajar sains, matematik, dan pelbagai skill untuk menjadi professionals dan skilled workforce. Kebanjiran tenaga kerja skill rendah dan murah boleh membantu perkembangan ekonomi, tetapi tenaga kerja berskill tinggi yang ramai lebih berpotensi untuk memajukan negara. Orang Korea sangat mementingkan usaha. Adalah menjadi perkara biasa untuk bos belanja makan team pekerja dengan kerap. Salah satu ucapan yang biasa didengari diucapkan kepada pekedai atau pekerja oleh bos ialah "Sugohaseyo" - "Semoga rajin berusaha." atau "Sugo Manassoyo" - "Tahniah awak sudah berkerja dengan keras dan baik sekali." dengan honourific ending, rasa lebih dihargai.

2. Untuk memajukan negara, ia memerlukan usaha kolektif pelbagai pihak. Mereka sedar akan penjualan hasil negara contohnya bijih besi dalam bentuk bahan mentah tidak begitu membantu perkembangan ekonomi negara. Dengan skilled workforce itu mereka menubuhkan pelbagai syarikat untuk menguruskan pembuatan produk dari bahan mentah, diproses menjadi bahan untuk industri, dibentuk, dipasang menjadi produk, dan akhirnya barulah produk itu dieksport ke luar. Banyak syarikat yang terlibat dalam proses value adding ini. Kerajaan mampu mengutip banyak cukai. Banyak juga peluang pekerjaan dicipta untuk mengupah ramai rakyat.

Cara ini lebih menguntungkan rakyat daripada seorang tuan tanah menggali berlian mentah dan menjualkannya ke luar negara dalam bentuk mentah. Yang diupah cuma tentera gerilla dan penggali lombong. Duit pula disimpan di luar negara untuk mengelakkan cukai.

Memanglah ketirisan pengurusan yang tidak baik itu merisaukan. Tetapi apa yang ingin diutarakan di sini ialah peluang. Negara kita ada banyak kelapa sawit yang menghasilkan vegetable oil and fat yang penting dalam pelbagai makanan. Kita punyai banyak potensi dalam industri makanan. Negara kita ada banyak ladang getah, kita ada banyak potensi dalam industri sarung tangan, tayar dan sebagainya. Eksport produk akhir. Bukan eksport jual bahan mentah.


Cara yang terbaik untuk menjadikan impian Malaysia menjadi negara maju sebuah realiti ialah melalui kuasa kolektif rakyat. Korea maju bukan kerana ketiadaan sesebuah parti politik, tetapi kerana usaha kolektif rakyat memajukan diri mereka sendiri. 

Malaysia susah untuk kehadapan kerana masih terlalu ramai yang sibuk bertelagah dalam politik. Kita bertelagah ingin mencari satu pemimpin yang terlalu pandai untuk mengepalai segalanya. Namun realitinya suara kolektif sekumpulan manusia biasanya lebih pandai daripada orang yang paling pandai dalam kumpulan itu. Rujuk buku The Wisdom of Crowds: Why The Many Are Smarter Than The Few and How Collective Wisdom Shapes Business, Economies, Societies and Nations oleh James Surowiecki. KITA SEMUA yang perlu bersatu tenaga memajukan negara, bukan mencari satu pemimpin untuk buatkannya untuk kita.

Hyundai adalah satu keluarga. Bersama satu workforce berskill tinggi yang begitu besar dan ramai. Mereka berjaya mengubah nasib satu negara. Bagi saya itulah kuasa rakyat yang sebenar.

Adzrin Mansor

Tuesday, 29 December 2015

6 SEBAB KENAPA KENDURI KAHWIN WAKTU MALAM LAGI BEST!

musim cuti sekolah aka musim kenduri dah nak habis. tapi saya nak jugak bincangkan 6 sebab kenapa buat kenduri kahwin waktu malam lagi best dari buat waktu siang.

1) TAK PANAS
dah tahu Malaysia ni iklim khatulistiwa yang waktu tengah hari lah waktu paling panas sekali, lagi mau main panas? bawah khemah macam oven! buat waktu malam sejuk.

2) HARI APA MAU PUN BOLEH
weekend hari cuti boleh. nak weekday hari berkerja pun boleh buat takde masalah jugak. yang takleh datang siapa kerja syif malam tu jelah. atau dia memang taknak datang. hahaha!

3) TEMPOH KENDURI PENDEK
waktu malam orang buat kenduri pukul 8 malam sampai 10 malam je. kalau buat siang orang buat dari pukul 12 tengah hari sampai pukul 5 kena layan tetamu. lama tu. penat.

4) LEBIH MERIAH
buat siang, ada setengah datang pukul 12, pukul 1 balik. setengah datang pukul 2, pukul 3 balik. datang makan, tak sempat jumpa pengantin pun terus balik. sekerat yang datang, sekerat balik. itu yang nampak kosong, itu yang orang jemput sampai seribu dua ribu jemputan konon nak bagi meriah. kalau buat waktu malam, pukul 8 sampai 10 masa pendek je, semua datang serentak. 200 orang pun dah cukup bising havoc habaq hang!

5) HIASAN LAMPU LAGI MERIAH
tak perlu letak kipas banyak-banyak nak sejukkan khemah yang macam oven pada waktu tengah hari! boleh kurangkan kipas dan letak lampu hiasan! letak lampu kelip-kelip bagai bintang, lampu meja lawa-lawa! lagi kelass youu!!

6) PHOTOGRAPHER KENA KERJA LAGI KERAS
since ini blog fotografi selitkan lah satu. shoot malam lagi mencabar pengetahuan lighting si photographer tu. when to add artificial light, how to balance it with ambient light, amount of light needed, quality of light, how to use speedlight, semua tu lah. ramai je photographer cakap photography is about light tapi tak tahu pasal light. sebab lighting ni susah.

bagi yang busy 'edit' 'tone' 'kaler'. editing VSCO preset tone ala filem pun tak mampu selamatkan gambar kalau awal-awal dah gelap atau gegar. so photographer shoot event low light waktu malam ni otak dia kena struggle lebih. haha. memang hangpa pengantin kena upah photographer berpengalaman luas untuk shoot majlis dalam situasi low light.

setuju? tak setuju, nak kutuk ka apa, mai marah saya di bahagian komen. kalau setuju pakat share bagi kawan baca. I bosan wedding panass ni tau! panas sangat nanti I cair.

Adzrin Mansor
blog - apkins.blogspot.com

(gambar perkahwinan Farah AF, credit to GI Photoshoot.)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...