Tuesday, 5 April 2011

Pengalaman Di Eropah


This is probably my first post in Bahasa Melayu. This is an article that I wrote for my school annual magazine a few years ago about my visit to some countries in Europe. Enjoy...




Sejak kecil, saya selalu impikan untuk bermain dengan salji yang lembut dan sejuk. Pada November 2006, impian itu menjadi kenyataan apabila saya berpeluang melawat selatan Perancis, Itali dan Switzerland. Negara-negara ini merupakan antara destinasi pelancongan yang terkenal di dunia. Saya berlepas dari Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat Emirates Airlines. Selepas 18 jam perjalanan, saya selamat sampai di Lapangan Terbang Cote D'Azur, Nice, Perancis. Suhu di selatan Perancis agak selesa iaitu sekitar 18 darjah selsius.



Saya bersiar-siar sepanjang Jalan Promenade des Anglais yang menyusuri pantai Laut Mediteranean. Pantai ini merupakan destinasi pelancongan yang popular di musim panas tetapi saya dapati ia lengang di musim sejuk. Di sinilah saya membeli beberapa botol air mineral berjenama Evian yang jauh lebih murah berbanding Malaysia. Seterusnya, saya ke bandar Cannes yang terkenal dengan Cannes Film Festival. Bangunan-bangunan di sini kelihatan antik walaupun ada yang baru dibina. Saya berpeluang membeli beberapa botol minyak wangi selepas dibawa melawat ke kilangnya yang terletak di Grasse. Jawatan saintis yang mencipta aroma minyak wangi baru dipanggil “nose”. Tempoh kerja 10 tahun sahaja dan gajinya sangat lumayan hingga tidak perlu lagi bekerja selepas tamat kontrak. Tempat tinggal, makanan dan segala keperluan disediakan. Tetapi, tidak boleh berkahwin, menghisap rokok, meminum kopi, makan makanan berbau, dan tidak boleh menghidu bau-bauan yang tidak enak bagi memelihara kecekapan deria bau. Keluar bersiar-siar di kawasan bandar sudah semestinya tidak dibenarkan. Mahukah anda bekerja seperti ini? Saya tidak sanggup walaupun gajinya amat lumayan.


Perjalanan saya teruskan ke Monte Carlo, bandar mewah di selatan Perancis. Walaupun saiz kawasannya kecil, Monte Carlo diperintah oleh kerajaannya sendiri. Hotel Paris tersergam indah di Casino Square. Di sini terdapat sebuah kasino yang sangat terkenal. Saya terlalu muda untuk memasuki kasino itu jadi saya bersiar-siar melihat kereta mewah Ferrari dan Mercedes Benz yang diparkir sekitar bandar ini. Yang menarik tentang bandar berbukit ini, apabila musim Formula One bermula, jalan raya bandar Monte Carlo dijadikan litar lumba yang terkenal sebagai litar lumba kereta yang paling sempit di dunia.


Seterusnya saya menuju ke bandar yang dikenali sebagai syurga fesyen iaitu Milan, Itali. Pusat membeli belah Victoro Emanuelle 2 Galleria adalah sebuah bangunan klasik yang menjadi tumpuan butik-butik jenama terkenal seperti Salvatore Feragamo. Saya hanya menjamu mata sahaja kerana harga sehelai jaket boleh mencecah ribuan Euro. Di sebelah pusat membeli-belah ini, terdapat gereja yang terbesar dan tertua di Itali, ia dipanggil The Duomo. Malangnya, semasa saya di sana, bangunan itu sedang menjalani kerja-kerja membaik pulih dan seluruh struktur diliputi ‘scaffolding’. Semasa saya membeli cenderahati, peniaga berbangsa Itali itu mengucapkan “terima kasih, jumpa lagi.” Saya terkejut dan bertanya bagaimanakah dia boleh bertutur Bahasa Melayu. Dia mengatakan Malaysia dikenali ramai di Milan. Tidak seperti negara-negara lain yang saya kunjungi sebelum ini, mereka tidak mengenali Malaysia. Sungguh gembira rasanya apabila mengetahui negara kita dikenali orang luar.


Bagi menjimatkan masa perjalanan untuk ke Switzerland, saya menyusuri lereng gunung bersalji di kawasan pedalaman menuju ke sempadan Itali-Switzerland. Kastam Switzerland tidak memberi kebenaran masuk ke negaranya kerana pegawai kastam berkenaan tidak pernah mendengar nama negara Malaysia. Begitu juga pegawai-pegawai lain. Saya menghabiskan masa lebih sejam hingga saya teringatkan Sukan Komanwel dan mengatakan Malaysia menganggotai negara-negara komanwel. Pegawai kastam itu terus ke komputernya dan mengangukkan kepalanya sambil tersenyum. Dengan kawasan dikawal ketat anggota lengkap bersenjata api, takut juga rasanya. Lega rasanya saya apabila masalah saya sudah selesai.


Di Switzerland saya ke bandar Zermatt dengan menaki kereta api Matterhorn Gothard Bahn dari Tasch. Bandar Zermatt tidak dapat diakses dengan kenderaan bermotor. Bandar ini terletak di kaki Gunung Matterhorn dengan ketinggian 4478 meter. Gunung itu sangat menarik perhatian saya kerana ia berbentuk seperti piramid. Dari Zermatt, saya menaiki kereta api gunung untuk ke Gornergrat. Dengan penuh berhati-hati saya berjalan di atas salji. Apabila memijak salji yang lembut, kasut saya tenggelam ke dasar salji hingga ke buku lali. Ada masanya terasa licin apabila berjalan. Dengan memakai sarung tangan, saya membentuk bebola salji dan menyusunnya setinggi yang boleh. Bermain dengan salji amat menyeronokkan!


Saya bersiar-siar di sepanjang Jalan Bahnhofstrasse di pusat bandar Zermatt untuk membeli-belah. Terdapat banyak kedai cenderahati, cermin mata, jam tangan, pakaian, alat solek, dan yang paling menarik, kedai coklat. Switzerland amat terkenal dengan coklatnya. Menurut cerita orang tempatan, coklat dicipta di bandar kecil ini. Jenama coklat Lindt & Spruengli dan Toblerone juga diasaskan di sini. Saya singgah di sebuah kedai yang menjual coklat buatan sendiri. Sebaik sahaja melangkah masuk ke kedai itu, aroma coklat bagaikan menyambut kedatangan saya. Kepingan coklat yang dicampur dengan berbagai kekacang seperti kacang hazel dan buah-buahan seperti beri biru dipamerkan di seluruh kedai. Saya meminta pekedai untuk membungkuskan beberapa keping coklat berlainan perasa. Coklat dipatahkan dari kepingan yang besar dan dibayar mengikut beratnya. Coklat dibungkus cantik dan diikat dengan reben. Terasa sayang pula untuk dibuka dan dimakan.



Seterusnya saya ke bandar Montreux. Saya melawat Chillon Castle yang tersegam indah di tepian Tasik Geneva. Tandas diraja di istana ini amat unik. Tandasnya merupakan sebuah kerusi kayu yang mempunyai lubang bulat di bawahnya. Tujuan lubang itu agar semua sisa buangan terjatuh ke dalam air tasik beberapa puluh kaki di bawah kerusi itu. Geneva adalah bandar yang berikutnya saya lawati. Saya berhenti seketika untuk mengambil foto di hadapan Ibu Pejabat PBB dan Ibu Pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah. Bandar Geneva juga terkenal dengan deretan kedai jam tangan buatan Switzerland seperti Tissot dan Rolex. Saya berpeluang membeli seutas jam tangan Swatch Irony buatan Switzerland di butik Swatch. Keesokan harinya saya menuju ke Berne. Terdapat menara jam yang unik dan deretan air pancut yang tidak menggunakan pam elektrik. Stesen kereta api bandar ini pula dibina tiga tingkat di bawah tanah untuk memelihara bangunan-bangunan bersejarah tidak perlu dirobohkan. Saintis terkenal, Albert Einstein juga pernah tinggal di bandar ini.


Saya bermalam di Interlaken sebelum menaiki kereta api gunung “Jungfraubahnen” untuk menuju ke stesen kereta api tertinggi di dunia iaitu di puncak Gunung Jungfrau. Di pertengahan jalan, saya bertukar kereta api di Kleine Schidegg. Di sinilah saya terpegun melihat Glasier Eiger yang gagah menghakis gunung serta air terjun yang alirannya telah membeku. Setelah 30 minit, saya tiba di puncaknya dengan ketinggian 3454 meter dari aras laut. Cuaca di luar agak berbahaya kerana angin berkelajuan 75 kilometer sejam dan suhunya adalah 21 darjah selsius di bawah paras beku. Saya memberanikan diri keluar dari bangunan untuk mengambil foto. Di luar, angin sejuk dan deras terasa keras apabila mengenai kulit. Angin membawa bersama kristal-kristal salji yang halus dan ia melekat di pakaian. Sungguh sejuk, kulit muka terasa seperti akan tercabut daripada daging. Kepala pula terasa keras walaupun saya memakai topi. Dalam perjalanan turun dari gunung, hampir semua pelancong tertidur kerana keletihan menahan kesejukan.


Zurich ialah perhentian terakhir saya. Bandar ini amat mengagumkan dan indah dengan tasik yang meluas dan deretan bangunan bersejarah. Saya meninggalkan Switzerland dari Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich untuk berlepas pulang ke tanah air. Pengalaman melancong selama 11 hari di negara Switzerland, Itali dan selatan Perancis merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan. Jika berkesempatan saya ingin kembali lagi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...