Saturday, 2 January 2016

TEKNOLOGI SISTEM PENGANGKUTAN AWAM BANDAR SEOUL


Sepanjang lima tahun menetap di bandar metropolitan Seoul saya sangat mengagumi sistem pengangkutan awam bandar metropolitan Seoul yang begitu efisyen dan berpatutan harganya. Sebagai seorang pelajar kejuruteraan yang dihantar oleh kerajaan untuk mempelajari cara-cara orang Korea, memang menjadi tugas saya untuk mengumpul maklumat seperti seorang 'spy' dan memaklumkan kepada semua warga Malaysia.

Seoul Metropolitan Government kini terkenal di seluruh dunia kerana telah berjaya mengintegrasikan servis tren bawah tanah dengan sistem bas dengan jayanya untuk servis pengangkutan awam yang efisyen. Ia kini lebih dikagumi berbanding sistem yang jauh lebih tua daripadanya seperti di New York Subway.

Pada tahun 90-an Korea Selatan telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi dan pertumbuhan jumlah penduduk yang pesat. Pada awalnya sistem bas diuruskan sepenuhnya oleh syarikat swasta. Permasalahan dengan sistem ini ialah terlalu banyak syarikat inginkan laluan yang menguntungkan tetapi pada masa yang sama meninggalkan servis laluan yang tidak menguntungkan. Hal ini menyebabkan kesesakan teruk di kawasan padat kerana wujud banyak pertindihan laluan bas. Kawasan yang kurang padat pula tidak menerima servis bas kerana dianggap kurang menguntungkan. Dengan 10 juta penduduk di dalam satu bandar Seoul sahaja, bandar ini memang sangat memerlukan sistem pengangkutan awam yang efisyen. 

Lorong keutamaan untuk bas telah cuba diperkenalkan untuk memudahkan perjalanan bas. Malangnya ia gagal kerana lorong bas itu menjadi ruang parkir kereta, sekaligus menyekat bas dari bergerak dengan efisyen dan menepati masa.

Oleh kerana kelemahan sistem pengangkutan awam, ramai yang berbelanja lebih untuk membeli kereta sendiri. Permilikan kenderaan sangat tinggi pada masa itu. Kerajaan Korea memahami bahawa pertambahan hutang isi rumah mengurangkan 'disposable income' dan kuasa membeli pembeli daripada menjana ekonomi tempatan. Jumlah kenderaan yang tinggi juga menyebabkan kesesakan makin bertambah buruk dan menyebabkan pencemaran udara. Bandar Seoul sangat sudah semakin tercekik dengan masalah ini dan tindakan drastik harus diambil.

Kerajaan bandar Seoul sudah lama mengekspresikan niat untuk melalukan transformasi sistem pengangkutan awam tetapi apabila krisis ekonomi Asia pada tahun 1997 membantutkan segala rancangan mereka.

Pada tahun 2002, ekonomi Korea telah berjaya pulih dengan baik dari krisis ekonomi tersebut. Mereka menjadi tuan rumah kepada 2002 FIFA World Cup yang julung kalinya diadakan di negara Asia. Korea kini menjadi tumpuan dunia.

Sebulan sahaja selepas 2002 FIFA World Cup finals berakhir, seorang Datuk Bandar baharu telah dipilih untuk mengetuai bandar ini. Lee Myung Bak telah menang pilihanraya Datuk Bandar dan visi utama beliau ialah melakukan transformasi yang drastik kepada sistem pengangkutan awam bandar Seoul.

Mari kita bincangkan empat langkah yang diambil oleh Seoul Metropolitan Government untuk menambah baik sistem pengangkutan awam.




1) Chonggyechon
Permulaan 'Walkable City'

Chonggyechon ialah satu anak sungai yang mengalir di tengah-tengah pusat bandar Seoul, dari Jongno melalui kawasan penting seperti Dongdaemun sehinggalah ia memasuki Han River, sungai terbesar di bandar ini. Asalnya Chonggyechon ini telah ditutupi oleh lebuh raya atas jejambat yang begitu sesak dengan trafik kenderaan.

Solusi Datuk Bandar Seoul untuk menyelesaikan masalah kesesakan itu sangatlah drastik dan kontra daripada pemikiran logik. Lebuhraya itu diruntuhkan dan anak sungai Chonggyechon dipulihkan semula sebagai 'Public Open Space' dengan tepian sungai itu dibina ruang pejalan kaki yang rata dan selesa untuk orang berjalan.

Pembangunan dan hartanah di tepian sungai ini pada yang pada asalnya membelakangi sungai tersebut, kini melonjak naik harga. Kedai-kedai di tepi sungai mula dibuka mendepankan sungai kerana wujud ramai pengunjung yang berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut. Pengunjung yang berjalan kaki adalah lebih baik untuk bisnes-bisnes sekitar bandar kerana mereka lebih senang untuk memasuki kedai-kedai berbanding orang dalam kenderaan yang sukar untuk berhenti. Itulah betapa pentingnya pembinaan ruang pejalan kaki yang selesa kepada ekonomi bandar!

Konsep pembangunan 'walkable city' mengutamakan pejalan kaki dan public open spaces kini menjadi keutamaan untuk bandar Seoul.




2) Penciptaan T-Money
Agen katalis penyatuan sistem pengangkutan awam

Bandar Seoul telah mempunyai sistem tren atas tanah dan bawah tanah seawal tahun 1974 dengan pembinaan Line 1, diikuti dengan Line 2, 3 dan 4 pada tahun 1985. Kemajuan servis kereta api bawah tanah ditambah lagi dengan servis oleh syarikat bas swasta yang tidak memuaskan mengakibatkan kemerosotan sistem bas dalam bandar yang drastik. Hanya 53 syarikat bas sahaja yang tinggal beroperasi pada tahun 2003 berbanding 103 pada 1997.

Penciptaan kad T-money pada tahun 2003 adalah katalis utama kepada usaha penyusunan semula sistem pengangkutan awam. Kad prepaid yang dibina dengan teknologi Near Field Communication (NFC) ini membolehkan pengguna menambah nilai yang diingini dan membayar tambang bas atau subway dengan satu tap sahaja semasa naik dan satu lagi semasa turun. Ini mempercepatkan lagi pergerakan penumpang untuk masuk ke dalam bas dan subway daripada perlu beratur membeli tiket atau melengahkan bas dari bergerak kerana pemandu harus melayan pembayaran duit tunai.

Penciptaan kad T-money ini juga bermaksud semua urusan pembayaran tambang disatukan di dalam satu 'pool'. Segala peruntukan dan keuntungan akan diagihkan kepada pelbagai syarikat bas. Dengan ini syarikat bas tidak lagi berebut untuk bertumpu kepada service lanes yang padat untuk keuntungan, kerana untung lebih dari service lanes lain boleh dikongsi dengan lanes yang lain.

Pada awalnya wujud isu syarikat bas sengaja menyatakan kos mereka lebih tinggi daripada realiti untuk mendapatkan lebih peruntukkan. Isu ini diselesaikan dengan memperkenalkan sistem pengagihan mengikut prestasi syarikat bas tersebut.

Dengan sistem pembayaran yang disatukan di bawah satu syarikat milik kerajaan bandar Seoul, kerajaan lebih berkuasa dalam menentukan harga tambang pengangkutan awam. Semasa sistem bas diuruskan sepenuhnya oleh pihak swasta, kesesakan yang teruk menelan kos bahan api yang banyak dan servis kurang memuaskan menyebabkan semakin kurang orang naik bas. Kenaikan kos dan kekurangan untung memaksa syarikat bas untuk menaikkan tambang bas berkali-kali, menyebabkan kemarahan penduduk.


Dengan sistem T-money, penduduk perlu membeli kad T-money yang berharga 2,500 won. Selepas memiliki kad tersebut, mereka boleh menggunakannya berulang kali dengan menambah nilai jumlah yang mereka mahukan - sama seperti sistem kad Touch N Go atau Rapidpass di Malaysia. Tambah nilai boleh dilakukan di semua kedai serbaneka seperti CVS, 7-eleven atau di mesin-mesin yang disediakan di semua stesen kereta api bawah tanah.

Dari segi tambang, orang yang ingin menggunakan sistem pengangkutan awam cuma membayar tambang asas 900 won untuk perjalanan dalam jarak 10km pertama dari stesen yang dinaiki dan tambahan 100 won untuk 10km seterusnya.

Mereka boleh tukar bas secara percuma dengan kad ini selagi mereka di dalam zon 10km perjalanan dari stesen yang mereka naiki. Jika mereka ingin tukar dari menaiki bas ke subway mereka cuma perlu membayar tambahan 100 won juga.

Sebagai perbandingan harga air mineral dalam botol berharga 500 won dan tambang asas cuma di sekitar 1000 won. Murah bukan? Sistem tambang yang bersepadu ini menjadikan tambang pengangkutan awam sangat murah dan sekaligus mengalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan pengangkutan awam.

*Harga tambang yang dibincangkan di atas ialah harga pada tahun 2005. Sejak Jun 2015, tambang asas telah dinaikkan kepada 1,200 won (bas) dan 1,250 (subway). Biasalah, inflasi.




3) Median Bus Lanes
Penyelesaian masalah laluan khas bas

Masalah biasa dengan laluan khas bas yang terletak di tepi jalan ialah, akan muncul orang yang meletakkan kereta mereka di situ, menghalang laluan bas. Penyelesaian datang dengan membina laluan khas bas di tengah-tengah jalan raya, bukan di tepi. Bas tidak perlu lagi menyusuri trafik bersama kereta lain kerana hanya bas dan pihak berkuasa sahaja boleh menggunakan laluan khas bas ini. Dengan cara ini tiada orang akan berhenti di dalam laluan bas di tengah-tengah jalan. 

Median Bus Stops - Stesen bas yang diletakkan di tengah jalan berbanding di tepi.
Stesen bas juga diletakkan di tengah-tengah jalan raya untuk mengelakkan bas dari perlu menempuh dan melintas trafik kereta untuk berhenti di stesen bas. Kini bas mempunyai ruang yang tersendiri untuk bergerak dengan lancar dan lebih menepati masa perjalanan.




4) Sistem TOPIS
Memastikan bas tiba tepat pada masanya

Untuk menguruskan perjalanan bas dan memastikan bas tiba di stesen bas tepat pada masanya, tiga sistem telah dicipta. Sistem TOPIS (Seoul Transport Operation and Information Service) dengan bantuan Sistem BMS (Bus Management System) menggunakan teknologi GPS untuk menentukan kedudukan setiap bas dan melaporkannya ke hab utama pengurusan bas. Pemandu diberi informasi jarak mereka dengan bas lain supaya bas tiba di stesen menepati masa dan tidak berlaku dua tiga bas dengan nombor yang sama, tiba di stesen bas yang sama, pada masa yang sama.


Dengan data yang diperolehi dari TOPIS dan BMS, sistem BIS (Bus Information System) pula memberikan informasi masa menunggu yang spesifik kepada stesen bas mereka di papan informasi digital ataupun melalui aplikasi telefon pintar.


Mengagumkan bukan sistem pengangkutan awam bandar Seoul ini?

Mungkin segala apa yang dibincangkan di atas ini bukanlah perkara baru untuk para pelajar Urban Planning atau komuniti urban planners. Tetapi sedih juga tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan dan potensi pengangkutan awam boleh memajukan negara masih di tahap yang rendah.

Sepanjang lima tahun saya menetap di Korea, ramai pemimpin negara kita telah datang melawat Korea Selatan. Tetapi, setiap kali mereka datang mereka akan diikuti oleh rombongan yang besar, yang memerlukan mereka menaiki van ataupun bas. Jadi kebanyakan pemimpin negara tidak sempat merasa kehebatan sistem pengangkutan awam di sini.

Untuk reformasi yang begitu radikal seperti yang dilakukan oleh Datuk Bandar Lee Myung Bak (later, President) ini memerlukan pemimpin yang mempunyai visi dan misi yang jelas. Jangan risau akan survival Proton jika polisi kerajaan mengutamakan pengangkutan awam. Proton harus menumpukan usaha meneroka pasaran baru di luar negara dan memberi lebih fokus kepada usaha export, mencontohi Hyundai yang saya tuliskan tempoh hari.

Saya percaya yang kita mempunyai kepakaran yang cukup untuk melakukan perubahan sebegini. Cuma kesedaran mengenai kepentingan perancangan bandar, penyelarasan sistem tambang, dan penyusunan servis pengangkutan awam sahaja yang diperlukan. 


Adzrin Mansor



Sumber:
Seoul Metropolitan Government - Citynet
Seoul Metropolitan Government Archives - Seoul Solution
Korea Tourism Agency - Visit Korea

1 comment:

Phraser said...

Prkongsian yg sgt menarik. Sy hrp saudara boleh kongsi mcm mna govrmnt korea bangunkn kwsan2 pinggir bndar dan pkan kecil dri segi pngangkutan, kemudhn awam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...